Wednesday 29 February 2012

Larian 40 Taman #7: Taman Botanikal Melaka

Larian ketujuh dalam siri Larian 40 Taman 100 Kilometer telah diadakan pada hari Sabtu lepas, 25hb Februari di Taman Botanikal Melaka. Larian telah diadakan secara solo oleh pengasas projek, M.Zulkifli.

Taman Botanikal Melaka terletak hanya beberapa minit sahaja dari tol Ayer Keroh, dan papan tanda yang mencukupi membuatkan perjalanan ke sana amat mudah.


Sebaik tiba di sana pada pukul 7.15 pagi, kelihatan ramai pengunjung lain yang telah pun tiba. Ramai yang datang bersama rakan-rakan dan keluarga. Kami memang teruja dengan persekitaran di taman ini yang sangat bersih dan teratur. Rekacipta lanskap di sini juga sangat menarik. Syabas diucapkan kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab!





Taman ini dulunya dikenali sebagai Hutan Rekreasi Ayer Keroh dan telah dibangunkan semula pada tahun 2006. Ia merangkumi kawasan seluas 92.5 hektar.

Menurut laman web ini, "pada peringkat Fasa 1, pembangunan taman ini melibatkan pembangunan imej baru pintu masuk ke Taman Botanikal Melaka, penyediaan kompleks tempat letak kereta, pembangunan taman-taman bunga dan kemudahan-kemudahan lain. Taman ini merupakan salah satu destinasi pelancongan dan tempat persinggahan yang menjanjikan kedamian dan ketenangan dari kesesakan dan kesibukan kota.



"Keindahan taman di celahan hutan kaya dengan pelbagai spesis tumbuhan menawarkan pelbagai aktiviti untuk berekreasi dan beriadah sambil menikmati udara segar.Taman Botanikal Melaka mempunyai keunikan tersendiri dan berbeza dari Taman Botanikal yang lain kerana keadaan persekitarannya di kelilingi lanskap hutan semulajadi dengan 300 spesis flora dan fauna."




Sememangnya, Taman Botanikal Melaka begitu unik sekali dengan pelbagai jenis kemudahan. Selain dari trek joging dan peralatan bersenam dan taman permainan kanak-kanak, terdapat juga beberapa "taman di dalam taman" seperti Taman Pra-Sejarah dan Taman Cerita.




Selain daripada berjoging, kami juga ternampak aktiviti berbasikal dijalankan di sini. Anda juga boleh menyewa buggy dan memandu di sekitar kawasan taman. Terdapat juga Kampung Buku untuk mereka yang gemar membaca, jambatan tergantung, Muzium Perhutanan dan kafe. 





Larian hari itu merangkumi jarak sejauh 3.02km. "Agak sukar untuk saya menumpukan perhatian kepada larian, kerana persekitaran Taman ini sangat menarik," kata Zulkifli. "Taman Botanikal Melaka sangat indah dengan pelbagai tarikan dan sesuai untuk seisi keluarga".


Tuesday 28 February 2012

Larian #8-10

Tiga Larian 40 Taman seterusnya adalah seperti berikut:

Taman Tasik Titiwangsa (3 Mac 2012)

Taman Jaya (10 Mac 2012)

Taman Tasik Shah Alam (17 Mac 2012)

Jumpa di sana!

Wednesday 22 February 2012

Larian 40 Taman #6: Taman Subang Ria

Larian keenam dalam siri Larian 40 Taman 100 Kilometer telah diadakan pada hari Sabtu lepas, 18 Februari 2012 di Taman Subang Ria, Subang Jaya.


Taman ini telah lama menjadi tumpuan aktiviti rekreasi bagi penduduk setempat. Diwujudkan pada lewat tahun 1980an, Taman Subang Ria merangkumi kawasan lebih daripada 72 ekar dan terletak di Seksyen 12, Subang Jaya. Ianya juga mempunyai tiga tasik.


Beberapa tahun lepas, kontroversi mengenai taman ini timbul apabila cadangan untuk memajukan kawasan taman ini telah diketengahkan. Namun, oleh kerana protes yang dilakukan pelbagai pihak, cadangan itu hanya tinggal cadangan.

Larian 40 Taman di sini bermula sedikit lewat apabila ramai peserta yang kurang kenal dengan kawasan ini, tidak dapat mencari tempat perjumpaan seperti yang dijanjikan. Namun, larian dapat dimulakan sebelum pukul 8 pagi dengan penyertaan beberapa muka baru di samping peserta-peserta tegar.



Selepas sesi memanaskan badan, pelari-pelari pun memulakan larian di sekeliling trek yang berukuran 1km setiap pusingan.



Trek di sini memang mudah untuk berlari dan suasananya amat tenang, walaupun berhampiran dengan Lebuhraya Persekutuan. Kelihatan di taman ini juga beberapa kumpulan yang membuat senaman tai chi.




Walaubagaimanapun, selepas satu pusingan, hujan renyai mula turun. Ini tidak melunturkan semangat pelari-pelari yang secara puratanya menghabiskan tiga pusingan, sementara ada yang menyambung larian hingga lebih daripada itu!




Terima kasih kepada semua yang menjayakan larian keenam ini!

Tuesday 21 February 2012

Wednesday 15 February 2012

Tempat Perjumpaan Di Taman Subang Ria

Bagi larian Sabtu ini (18 Feb 2012), pada pukul 7.30 pagi, tempat perjumpaan adalah seperti dalam gambar.



Untuk ke sana, apabila anda sudah pun masuk ke simpang berhampiran SJMC, terus sehingga anda nampak Hotel Dorsett. Di antara Dorsett dan Holiday Villa, ada simpang kiri untuk ke tempat perjumpaan. Jumpa di sana!

Friday 10 February 2012

Larian #6

Larian seterusnya:

Tempat: Taman Subang Ria, Subang Jaya (berhampiran SJMC dan Sheraton)

Tarikh: 18 Feb 2012

Waktu: 7.30 pagi

Jumpa di sana!

Thursday 9 February 2012

Larian 40 Taman #5: Taman KLCC

Terletak di tengah-tengah kotaraya Kuala Lumpur, Taman KLCC adalah antara taman yang terindah dan digemari ramai di Lembah Klang ini. Dan ianya merupakan destinasi kelima Larian 40 Taman 100 Kilometer.


Dengan keluasan yang meliputi lebih daripada 50 ekar, Taman KLCC telah direkacipta oleh pereka lanskap terkenal dari Brazil, Roberto Burle Marx, dan mempunyai pelbagai kemudahan dan tarikan istimewa termasuk taman permainan kanak-kanak, air pancut bersimfoni, trek untuk berjogging dan kawasan yang luas untuk beriadah. Pokok-pokok pelbagai spesies juga menwujudkan suasana yang tenang, indah dan damai.




Larian pada 4 Februari yang lepas bermula di awal pagi seperti biasa. Mereka yang datang awal telah diberikan T-shirt eksklusif Larian 40 Taman, dan selepas sessi memanaskan badan, pelari-pelari memulakan larian sebanyak dua pusingan.





Pelari-pelari kali ini terdiri daripada mereka yang pertama kali turut serta dalam Larian 40 Taman dan juga mereka yang sudah pun bersama sebanyak tiga kali.







Dua pusingan yang dibuat merangkumi jarak 2.64km, walapun ada pelari yang membuat pusingan lebih untuk kepuasan masing-masing.



Jangan lupa untuk turut serta dalam larian seterusnya di Taman Subang Ria!