Saturday 28 July 2012

Larian 40 Taman #22: Hyde Park, London

Buat pertama kalinya, Larian 40 Taman telah ke luar negara dan sampai ke London, England! Larian secara solo pada 7 Julai lepas telah diadakan oleh pengasas projek M.Zulkifli yang turut menyertai British 10k London Run keesokan harinya.


Hyde Park merupakan sebuah taman yang cukup ikonik, bukan sahaja di United Kingdom, malah di dunia. Bersebelahan Hyde Park pula adalah Kensington Gardens. Walaupun merupakan dua taman berbeza, lokasinya yang bersebelahan memudahkan orangramai untuk menggunakan kemudahan kedua-dua taman tanpa sebarang kekangan.

Hyde Park juga terkenal kena Speakers' Corner dan untuk sekian lama merupakan lokasi "favourite" untuk sebarang acara protes. Keluasan Hyde Park adalah lebih kurang 142 hektar dan ianya terletak betul-betul di pertengahan bandaraya London dan dihubungi oleh beberapa stesyen Underground.


Larian pada pagi itu dimulakan seawal 5.30 pagi. Cuaca agak dingin ketika itu, sekitar 15 darjah celcius. Namun, suasana sekeliling tetap indah dan menarik. Kelihatan juga kerja-kerja dilakukan untuk tapak konsert sempena dengan Sukan Olimpik 2012.



Secara keseluruhannya, jarak yang dilalui adalah 3.55km seperti yang telah dirakamkan di bawah.


Thursday 5 July 2012

Larian 40 Taman #21: Taman Tasik Seremban

Untuk Larian ke-21, team Larian 40 Taman telah kembali ke Negri Sembilan dan memilih Taman Tasik Seremban sebagai lokasi. Taman Tasik Seremban merupakan taman yang mempunyai status ikonik dan sangat popular di kalangan masyarakat setempat.


Terkenal juga kerana lokasinya berhampiran restoran A&W yang menjadi mercu tanda Seremban buat sekian lama, Taman Tasik Seremban juga telah melalui melalui proses penambahbaikan 3 fasa. "Projek Fasa 1 dan 2 di taman tasik ini dianggarkan bernilai RM4 juta dan telah pun siap manakala keseluruhan keluasan kawasan taman tasik ini ialah 24.28 hektar. Kos pembinaan bagi Fasa 3 ini ialah RM4.3 juta dan melibatkan 5.6 hektar dan pembinaan ini merupakan satu langkah bagi membolehkan orang ramai dapat menikmati kemudahan."


Pagi 1 Julai yang lalu, Larian 40 Taman telah diadakan di sini dan menyaksikan beberapa orang pelari tegar projek ini datang dari Lembah Klang semata-mata untuk memeriahkan lagi acara. Larian telah dimulakan lebih kurang jam 7.35 pagi.



Cuaca pagi itu agak mendung dan sesuai untuk membuat larian dengan keadaan yang begitu tenang. Tidak dapat dinafikan juga pemandangan di sini sangat indah sekali.

Separuh perjalanan, beberapa orang pelari yang tinggal di Seremban turut mengikuti larian kami. Mereka sememangnya pelari-pelari tegar yang baru-baru ini juga menghabiskan full marathon di Standard Chartered KL Marathon!




Di akhir larian, mereka yang belum pernah terima telah diberikan cenderahati coklat Larian 40 Taman sumbangan coklat2u.com. Terima kasih diucapkan kepada semua yang hadir!