Thursday 17 May 2012

Larian 40 Taman #17: Taman Putra Perdana, Putrajaya

Dari Kota Kinabalu, Larian 40 Taman telah kembali ke Semenanjung Malaysia apabila Larian ke-17 telah diadakan di Taman Putra Perdana, Putrajaya pada 12 Mei yang lepas.

Maklumat daripada portal PPJ: "Taman Putra Perdana terletak di lokasi tertinggi di Presint 1. Ianya di kelilingi oleh Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan bertindak sebagai perantara di antara dua domain semula jadi di utara dan domain Kerajaan dan dan Perdagangan di sebelah timur dan selatan. Taman ini adalah antara taman terbaik untuk menikmati panorama Putrajaya.

"Antara kemudahan dan tarikan yang disediakan termasuk mercu tanda Putrajaya, taman teres, plaza air terjun, taman wangian, gazebo dan wakaf."



Sememangnya, buat yang pertama kali berkunjung ke sini, perasaan takjub timbul apabila menjejakkan kaki di Taman Putra Perdana. Diselenggara dengan baik sekali, taman ini juga mempunayi kemudahan dan tarikan yang tidak terdapat di taman-taman lain.

Namun, apabila tiba di sana lebih kurang jam 7.10 pagi, kelihatan belum ramai pengunjung lagi di situ. Kami kemudian diberitahu taman ini lebih dikunjungi pada waktu petang, lebih-lebih lagi di hujung minggu.


Pada pagi itu, selain dari beberapa orang pelari-pelari tegar Larian 40 Taman, ada juga peserta-peserta baru yang datang dari Shah Alam dan Putrajaya sendiri. Seperti biasa, selepas senaman memanaskan badan, larian telah dimulakan sekitar jam 7.45 pagi.




Menarik di sini ialah pengunjung boleh memilih laluan mengikut kemampuan ataupun kecenderungan masing-masing. Dan oleh kerana ianaya lebih berbukit-bukau, kami diberitahu yang taman ini sering digunakan bagi mereka yang menjalani latihan larian secara serius.


Sudah tentu, pemandangan dari taman ini juga begitu hebat dan istimewa sekali.




Ini pula satu lagi tarikan di sini, Laman Megalit.





Tidak dinafikan laluan bagi larian kali ini sedikit sukar kerana berbukit-bukau, tetapi peserta-peserta tetap bersemangat menghabiskan larian sebanyak dua pusingan dengan jarak 2.7km.



Peserta-peserta  juga telah menerima cenderahati t-shirt eksklusif sumbangan TV9.





Terima kasih kepada semua yang telah menjayakan larian kali ini!


Wednesday 9 May 2012

Larian 40 Taman #16: Perdana Park, Kota Kinabalu

Buat pertama kalinya, Larian 40 Taman telah merentasi Laut Cina Selatan untuk sampai ke Kota Kinabalu, Sabah! Dan pada 5 Mei yang lepas, larian ke-16 telah diadakan di Perdana Park Tanjung Aru, Kota Kinabalu.


Perdana Park terletak di Tanjung Aru dan berhampiran dengan Terminal 2, Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Ianya telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri pada bulan Januari 2011. Sememangnya taman yang merangkumi kawasan seluas 18 ekar ini banyak keistimewaannya termasuk air suling percuma untuk pengunjung yang dahaga, taman permainan kanak-kanak, beberapa buah restoran, tandas awam dan trek joging yang berkualiti tinggi.




Di waktu malam pula, taman ini menjadi tumpuan ramai dengan adanya persembahan air pancut menari yang berwarna-warni. Taman ini juga adalah mesra-OKU.


Larian pada 5 Mei itu telah dibuat pada sebelah petang secara solo oleh pengasas projek, M.Zulkifli. Jarak satu pusingan di atas trek yang disediakan adalah lebih kurang 700 meter.



Yang menarik juga, terdapat muzik yang di pasang di speaker-speaker sekeliling taman, walaupun mungkin irama Kenny G kurang sesuai untuk mereka yang memerlukan motivasi untuk berlari.

Sayang sekali, larian pada petang itu terpaksa dihentikan awal kerana cuaca mendung menjadi bertambah buruk dan hujan lebat pun mula turun. Walau bagaimanapun, ianya satu pengalaman yang sangat berharga buat team Larian 40 Taman!






Larian #17

Butiran mengenai larian seterusnya seperti berikut:

Tarikh: 12 Mei (Sabtu)

Tempat: Taman Putra Perdana, Putrajaya

Masa: 7.30 pg

Jumpa di sana!

Thursday 3 May 2012

Larian 40 Taman #15: Padang Polo, Ipoh

Jangan keliru, taman ini juga dikenali sebagai Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz. Namun, di kalangan masyarakat tempatan, ianya dipanggil sebagai Padang Polo oleh kerana lokasinya yang berhampiran Ipoh Turf Club. Dan di situlah telah diadakan larian ke-15 dalam siri Larian 40 Taman pada 29 April yang lepas. Ini juga merupakan kali pertama Larian 40 Taman singgah ke negeri Perak.


Padang Polo terletak di Jalan Tambun dan dikatakan mempunyai laluan joging yang terbaik di Ipoh. Malah, kami mendapat info yang Baginda Sultan Perak juga gemar berjoging di sini bila ada kesempatan.

Kami sampai di lokasi sebelum 7.30 pagi dan sempat menikmati keindahan matahari naik.


Dan sememangnya, ramai pengunjung telah pun sampai ke sana ketika itu. Kami perhatikan ramai kanak-kanak sedang bermain di taman permainan manakala yang dewasa pula, berjoging dan melakukan senaman taichi.



Larian telah dimulakan sekitar jam 7.45 pagi. Trek joging di sini memang bagus dan mudah diikuti. Laluan di sini mendatar kecuali ada sedikit laluan naik bukit yang tidak lebih daripada 50 meter.



Apa yang sangat menarik di sini juga adalah aktiviti aerobik yang mendapat sambutan yang begitu hebat. Lengkap dengan sistem bunyi yang baik dan jurulatih-jurulatih,kami diberitahu yang program ini cukup popular di kalangan masyarakat bandaraya ini.



Sementara itu, peserta-peserta Larian 40 Taman telah membuat 2 pusingan sekeliling taman dengan jarak keseluruhan 2.6km.




Terima kasih kepada semua yang hadir!