Showing posts with label Johor. Show all posts
Showing posts with label Johor. Show all posts

Thursday, 25 October 2012

Larian 40 Taman #27: Hutan Bandar Mutiara Rini

Larian ke-27 dalam siri Larian 40 Taman telah diadakan di Hutan Bandar Mutiara Rini, Skudai  pada 7 Oktober yang lepas. Ini juga merupakan larian ke-3 di negeri Johor selepas Taman Merdeka dan Taman Hutan Bandar di Johor Bahru.


Hutan Bandar ini berkeluasan 25 hektar dan diselenggarakan pihak Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah. Ia telah dibangunkan sebagai taman beriadah untuk masyarakat setempat dan juga sebagai tarikan pelancong.



Hutan Bandar yang dibangunkan sejak 2008 ini, "kini mempunyai 200 spesies tanaman berbeza dengan 3,200 pokok yang telah membesar. Antara pokok yang ada adalah asam gelugur, keranji, tampoi, tongkat ali, jelutong, kempas, keruing bulu, bachang, johor, gelam, giam jantan, ipoh dan gaharu".

Antara kemudahan yang disediakan di sini termasuklah bangunan serbaguna, tempat letak kereta, wakaf, menara pandang, taman bunga dan taman herba.Ianya turut mempunyai Dataran Sekapur Sirih yang dibina dengan kos RM24 juta untuk kegunaan acara rasmi dan keramaian termasuk sambutan Hari Kemerdekaan.


Kewujudan 24 rumah limas yang mewakili 24 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini juga menyerikan lagi hutan tersebut dan ia boleh digunakan untuk ruangan seminar, kursus, bengkel dan keramaian.


Tinjauan kami ke sana juga mendapati Hutan Bandar Mutiara Rini sesak dengan pengunjung di waktu petang di mana aktiviti bermain layang-layang sangat popular.

Di waktu pagi pula, aktiviti senamrobik turut diadakan.


Trek untuk berlari juga luas dan mudah diikuti dengan pelbagai pemandangan menyejukkan mata. Lokasi ini juga sesuai untuk mereka yang berlatih untuk "trail run".





Terima kasih diucapkan kepada semua yang hadir pada pagi itu!

Friday, 6 April 2012

Larian 40 Taman #12: Taman Rekreasi Hutan Bandar, Johor Bahru

Larian 40 Taman kembali ke Johor Bahru untuk larian yang ke-12 hujung minggu yang lepas. Walau bagaimanapun, larian yang pada asalnya dirancang untuk diadakan pada 31 Mac, iaitu pada hari Sabtu, terpaksa ditangguhkan ke hari berikutnya akibat cuaca hujan yang berterusan sejak awal pagi lagi di JB.


Namun, cuaca pada hari Ahad, 1hb April begitu indah sekali dan Larian 40 Taman telah dapat dijalankan seperti yang dirancang.



Kepada yang belum pernah berkunjung ke Taman Rekreasi Hutan Bandar JB ini, berikut adalah maklumat dari portal http://hutanbandar.gov.my/ :  

BERADA dalam radius pusat bandar Johor Bahru, Taman Rekreasi Hutan Bandar menjadi sebuah lokasi ideal untuk melakukan aktiviti riadah bersama keluarga mahu pun rakan-rakan.

Terletak lebih kurang dua kilometer dari pusat bandar raya, taman rekreasi yang menyediakan pelbagai kemudahan itu meliputi kawasan seluas 20.23 hektar. Kedudukannya pula berada di persimpangan Jalan Tasek Utara dan Jalan Yahya Awal.

Dengan rimbunan pohon-pohon menghijau, ketenangan air tasik yang mendamaikan, kolam mandi kanak-kanak dan kemudahan rekreasi yang menyeluruh membuatkan pengunjung tidak sabar untuk meneroka kawasan tersebut.

Antara tarikan utama di sini termasuk Laman Tembusu, Medan Selera, Laman Permainan Kanak Kanak dan Tapak Perkhemahan.

Pelari-pelari pada pagi itu telah membuat dua pusingan besar mengelilingi taman. Persekitaran di sini memang cukup tenang dan redup, sesuai untuk aktiviti riadah seisi keluarga. Namun, banyak juga komen telah dibuat mengenai trek jogging yang agak licin dan sempit. Lebih-lebih lagi di bahagian turun bukit, risiko untuk tergelincir adalah agak tinggi.







Secara keseluruhannya, jarak larian pada pagi itu adalah 2.62km.



Pelari-pelari juga kemudian telah diberikan T-Shirt eksklusif Larian 40 Taman. Ini merupakan larian kedua di negeri Johor dan terima kasih diucapkan kepada semua yang hadir!




Wednesday, 25 January 2012

Larian 40 Taman #2: Taman Merdeka Johor Bahru

Larian kedua dalam siri "Larian 40 Taman 100 Kilometer" telah diadakan pada sabtu lepas, 22 Januari 2012, di Taman Merdeka, Johor Bahru. Lebih kurang 50 peserta telah mengikuti larian kali ini.



Menurut portal rasmi MBPJ, "Taman ini diberi nama Taman Merdeka bersesuaian dengan konsep keseluruhan yang ingin diketengahkan. Taman yang terletak di Tasek Utara iaitu kira-kira 3 km dari pusat bandaraya Johor Bahru ini mempunyai kawasan seluas 31 ekar yang merangkumi pembangunan Fasa 1 dan Fasa 2. Di sini pengunjung bukan sahaja dapat beriadah tetapi juga dapat mempelajari berhubung kemerdekaan melaui komponen pembangunan yang telah disediakan."

Peserta-peserta telah mula berkumpul kira-kira jam 7.15 pagi, dan seperti larian pertama, pencetus idea projek ini, M. Zulkifli, telah memberi sedikit taklimat mengenai objektif larian. Kelihatan pada pagi itu, peserta dari pelbagai peringkat umur, termasuklah kanak-kanak sekolah yang datang dengan keluarga masing-masing.



Suasana pagi itu cukup ceria di tengah-tengah persekitaran yang indah dan tenang.




Larian telah dimulakan jam 7.45 pagi dan peserta-peserta telah membuat dua pusingan besar keliling taman yang mencapai jarak 2.46km secara keseluruhannya.Trek larian di sini sangat baik dan sesuai untuk pelari-pelari tak kira tahap dan kemampuan.








Bagi ramai peserta, ini merupakan kali pertama mereka datang ke Taman Merdeka dan mereka melahirkan rasa ingin kembali selepas larian hari itu. Dan itulah merupakan sebahagian daripada objektif "Larian 40 Taman".










Peserta-peserta juga sempat beramah mesra sesama sendiri selepas larian dan juga bersarapan bersama.