Tuesday 31 January 2012

Larian #5

Larian seterusnya:

Tempat: Taman KLCC

Tarikh: 4 Feb 2012

Waktu: 7.30 pagi

Jumpa di kawasan letak kereta berhampiran dengan masjid KLCC

Monday 30 January 2012

Larian 40 Taman #4: Taman Bukit Jalil

Larian keempat dalam siri Larian 40 Taman 100 Kilometer telah diadakan Sabtu lepas (28 Jan) di Taman Bukit Jalil, Kuala Lumpur.




Taman Bukit Jalil telah dibuka ketika Bukit Jalil dibangunkan untuk Sukan Komanwel Kuala Lumpur pada tahun 1998. Taman ini terletak di sebelah lebuhraya Bukit Jalil dan mempunyai pelbagai kemudahan dan popular di kalangan masyarakat setempat. Kerap kelihatan di sini adalah pelbagai kumpulan yang menjalankan aktiviti seperti chi qong. Kawasan-kawasan terbuka yang ada di sini juga membolehkan mereka yang membawa keluarga beriadah dengan selesa.




Larian pagi itu telah dimulakan lebih kurang pukul 7.45 pagi selepas peserta-peserta semua sudah berkumpul. "Route" larian pula adalah seperti berikut.


Cuaca yang baik dan persekitaran yang menarik membuatkan larian begitu santai dan "enjoyable". Peserta-peserta sempat berborak sesama sendiri sambil menikmati pemandangan sekeliling, lebih-lebih lagi bagi mereka yang kali pertama menjejakkan kaki ke taman ini.






Dengan penuh semangat juga, peserta-peserta berjaya menghabiskan larian paling jauh setakat ini dalam siri Larian 40 Taman, iaitu 3.53km.


Syabas diucapkan kepada semua peserta!

Thursday 26 January 2012

Larian #4

Larian keempat akan diadakan hujung minggu ini di Taman Bukit Jalil, Kuala Lumpur seperti berikut:

Tarikh: 28 Januari 2012 (Sabtu)

Tempat: Taman Bukit Jalil

Waktu: 7.30 pagi

Seperti biasa, tiada sebarang bayaran dikenakan. Peta dan petanda tempat berkumpul disertakan:





Wednesday 25 January 2012

Larian 40 Taman #3: Taman Rekreasi & Terapi Pantai Purnama Port Dickson

Berbeza dengan dua larian sebelum ini, larian ketiga dalam siri "Larian 40 Taman 100 Kilometer" di Taman Rekreasi & Terapi Pantai Purnama Port Dickson telah diadakan secara solo oleh pengasas projek, M. Zulkifli.


Taman tersebut terletak di Batu 9 Jalan Pantai, Telok Kemang dan larian telah diadakan pada hari Selasa yang lepas, 24 Januari 2012.

Pantai Purnama (yang dulunya dikenali sebagai Pantai Batu 9), merupakan antara pantai yang popular di Port Dickson dengan pelbagai kemudahan termasuk tapak untuk berkhemah, restoran, tandas dan di bahagian taman pula, terdapat "boardwalk", laluan pejalan kaki dan wakaf.


Suasana di sini memang sungguh tenang dengan udara yang nyaman. Laluan pejalan kaki yang digunakan untuk larian hari itu lebar dan tidak licin, tetapi memerlukan tenaga yang lebih untuk memanjat beberapa anak bukit. Untuk ke "boardwalk", perlu juga menggunakan tangga.






 Jarak untuk larian kali ini adalah 2.23km.



Tetapi perlu diketengahkan di sini juga tentang kebersihan Pantai Purnama itu sendiri. Agak mengecewakan apabila melihat pesisiran pantai yang sangat kotor dan dicemari sampah-sarap yang ditinggalkan mereka yang beriadah di sana. 



Diharap orang ramai yang berkunjung ke pantai dapat memberikan kerjasama kepada pihak bertanggungjawab dengan membawa plastik sendiri di samping tidak dengan sewenang-wenangnya mencampakkan apa saja sampah di dalam tangan ke dalam laut.

Larian 40 Taman #2: Taman Merdeka Johor Bahru

Larian kedua dalam siri "Larian 40 Taman 100 Kilometer" telah diadakan pada sabtu lepas, 22 Januari 2012, di Taman Merdeka, Johor Bahru. Lebih kurang 50 peserta telah mengikuti larian kali ini.



Menurut portal rasmi MBPJ, "Taman ini diberi nama Taman Merdeka bersesuaian dengan konsep keseluruhan yang ingin diketengahkan. Taman yang terletak di Tasek Utara iaitu kira-kira 3 km dari pusat bandaraya Johor Bahru ini mempunyai kawasan seluas 31 ekar yang merangkumi pembangunan Fasa 1 dan Fasa 2. Di sini pengunjung bukan sahaja dapat beriadah tetapi juga dapat mempelajari berhubung kemerdekaan melaui komponen pembangunan yang telah disediakan."

Peserta-peserta telah mula berkumpul kira-kira jam 7.15 pagi, dan seperti larian pertama, pencetus idea projek ini, M. Zulkifli, telah memberi sedikit taklimat mengenai objektif larian. Kelihatan pada pagi itu, peserta dari pelbagai peringkat umur, termasuklah kanak-kanak sekolah yang datang dengan keluarga masing-masing.



Suasana pagi itu cukup ceria di tengah-tengah persekitaran yang indah dan tenang.




Larian telah dimulakan jam 7.45 pagi dan peserta-peserta telah membuat dua pusingan besar keliling taman yang mencapai jarak 2.46km secara keseluruhannya.Trek larian di sini sangat baik dan sesuai untuk pelari-pelari tak kira tahap dan kemampuan.








Bagi ramai peserta, ini merupakan kali pertama mereka datang ke Taman Merdeka dan mereka melahirkan rasa ingin kembali selepas larian hari itu. Dan itulah merupakan sebahagian daripada objektif "Larian 40 Taman".










Peserta-peserta juga sempat beramah mesra sesama sendiri selepas larian dan juga bersarapan bersama.

Wednesday 18 January 2012

Larian #2

Larian kedua akan diadakan hujung minggu ini di Johor Bahru, seperti berikut:


Tarikh: 22 Januari 2012 (Ahad)

Tempat: Taman Merdeka, Johor Bahru. Untuk maklumat lanjut mengenai taman ini, sila klik SINI

Waktu: 7.30 pagi


Seperti biasa, tiada sebarang bayaran dikenakan. Peserta-peserta untuk larian kali ini digalakkan untuk memakai baju merah, biru atau putih (warna bendera Johor). Jumpa di sana!

Tuesday 17 January 2012

Larian 40 Taman #1: Taman Bandaran Kelana Jaya

Larian pertama dalam siri "Larian 40 Taman 100 Kilometer" telah dianjurkan dengan jayanya pada Sabtu lepas, 14 Januari 2012. Lebih daripada 40 peserta telah mengikuti larian yang diadakan di Taman Bandaran Kelana Jaya, satu pencapaian yang membanggakan bagi program larian komuniti yang baru hendak bertapak ini.

Peserta-peserta pada hari tersebut telah mula berkumpul seawal jam 7 pagi, dan acara telah dimulakan dengan proses pendaftaran dan pengedaran T-shirt eksklusif "Larian 40 Taman" yang diberikan secara percuma.



Selepas sessi memanaskan badan, pengasas "Larian 40 Taman", M.Zulkifli yang juga merupakan hos rancangan "Malaysia Hari Ini" di TV3, telah memberikan sedikit taklimat sebagai pengenalan. Zulkifli mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan mengigatkan semua bahawa mereka sebahagian dari yang melakarkan sejarah baru melalui program ini.



Kelihatan di acara itu, peserta-peserta dari semua peringkat umur, dari kanak-kanak, remaja hingga ke warga emas, dan mereka kelihatan begitu bersemangat untuk memulakan larian.


Seterusnya, larian telah dirasmikan oleh Encik Ahmad Izham Omar, ketua pegawai operasi Media Prima, yang juga turut lari bersama.


Peserta-peserta membuat dua pusingan di sekeliling Taman Bandaran itu yang merangkumi jarak lebih kurang 2.7km.








Menurut portal rasmi MBPJ, Taman Bandaran Kelana Jaya merupakan yang terbesar di Petaling Jaya yang mempunyai 7 tasik, dan merupakan salah satu tempat popular dengan trek joging di sekeliling tasik. Di sini terdapat juga pusat renang olimpik, tennis dan gelanggang badminton. Stadium moden MBPJ juga merupakan salah satu tempat yang digunakan semasa KL Sukan Komenwel 1998.



Acara tamat lebih kurang jam 8.30 pagi dan peserta-peserta semua telah melahirkan rasa puas hati dengan penganjuran dan juga manfaat yang didapati dari larian pada pagi itu.




Acara itu juga telah mendapat liputan rancangan "Malaysia Hari Ini" dan laporannya telah ditayangkan pada hari Isnin yang lepas.