Tuesday 9 October 2012

Larian 40 Taman #25: Taman Tasik Cempaka Bangi

Larian ke-25 dalam siri Larian 40 Taman telah diadakan di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi. Larian pada pagi itu juga sangat istimewa kerana telah diadakan pada Hari Merdeka!

Di samping itu, dengan kemeriahan Hari Raya yang masih terasa, pelari-pelari turut datang membawa kuih dan hidangan lain untuk dikongsikan bersama.



Taman Tasik Cempaka sememangnya popular di kalangan masyarakat setempat dan pelbagai aktiviti kerap dilakukan di sini termasuk sessi senamrobik. Memancing juga merupakan aktiviti popular walaupun pada tahun lepas, banyak ikan didapati mati di sini akibat pencemaran yang dilakukan beberapa kilang yang berhampiran.

Antara kemudahan yang ada di sini termasuk tandas awam, tempat letak kereta, taman permainan kanak-kanak, padang bolasepak, tapak refleksologi dan wakaf.




Larian pagi itu menyaksikan penyertaan beberapa orang pelari-pelari baru yang tinggal di sekitar kawasan Bangi selain dari pelari-pelari tegar Larian 40 Taman. Turut hadir, mereka yang datang untuk memberikan sokongan walaupun tidak berlari bersama.


Selepas sessi memanaskan badan, peserta-peserta memulakan larian sebanyak dua pusingan besar. 



Keadaan pagi itu agak mendung dan sesuai untuk larian santai. Laluan yang disediakan agak mudah diikuti walaupun jambatan kayu yang sedia ada kelihatan agak usang dan sedikit merbahaya.

Selepas tamat larian sejauh 3km, pelari-pelari semua pun menjamu selera selain berkenalan sesama sendiri.








Terima kasih diucapkan kepada semua yang hadir!

No comments:

Post a Comment