Friday 6 April 2012

Larian 40 Taman #12: Taman Rekreasi Hutan Bandar, Johor Bahru

Larian 40 Taman kembali ke Johor Bahru untuk larian yang ke-12 hujung minggu yang lepas. Walau bagaimanapun, larian yang pada asalnya dirancang untuk diadakan pada 31 Mac, iaitu pada hari Sabtu, terpaksa ditangguhkan ke hari berikutnya akibat cuaca hujan yang berterusan sejak awal pagi lagi di JB.


Namun, cuaca pada hari Ahad, 1hb April begitu indah sekali dan Larian 40 Taman telah dapat dijalankan seperti yang dirancang.



Kepada yang belum pernah berkunjung ke Taman Rekreasi Hutan Bandar JB ini, berikut adalah maklumat dari portal http://hutanbandar.gov.my/ :  

BERADA dalam radius pusat bandar Johor Bahru, Taman Rekreasi Hutan Bandar menjadi sebuah lokasi ideal untuk melakukan aktiviti riadah bersama keluarga mahu pun rakan-rakan.

Terletak lebih kurang dua kilometer dari pusat bandar raya, taman rekreasi yang menyediakan pelbagai kemudahan itu meliputi kawasan seluas 20.23 hektar. Kedudukannya pula berada di persimpangan Jalan Tasek Utara dan Jalan Yahya Awal.

Dengan rimbunan pohon-pohon menghijau, ketenangan air tasik yang mendamaikan, kolam mandi kanak-kanak dan kemudahan rekreasi yang menyeluruh membuatkan pengunjung tidak sabar untuk meneroka kawasan tersebut.

Antara tarikan utama di sini termasuk Laman Tembusu, Medan Selera, Laman Permainan Kanak Kanak dan Tapak Perkhemahan.

Pelari-pelari pada pagi itu telah membuat dua pusingan besar mengelilingi taman. Persekitaran di sini memang cukup tenang dan redup, sesuai untuk aktiviti riadah seisi keluarga. Namun, banyak juga komen telah dibuat mengenai trek jogging yang agak licin dan sempit. Lebih-lebih lagi di bahagian turun bukit, risiko untuk tergelincir adalah agak tinggi.







Secara keseluruhannya, jarak larian pada pagi itu adalah 2.62km.



Pelari-pelari juga kemudian telah diberikan T-Shirt eksklusif Larian 40 Taman. Ini merupakan larian kedua di negeri Johor dan terima kasih diucapkan kepada semua yang hadir!




1 comment: