Wednesday 4 January 2012

LARIAN 40 TAMAN 100 KILOMETER: SIARAN MEDIA

Satu fakta yang merunsingkan tentang masyarakat kita telah dipaparkan baru-baru ini, iaitu hanya 33% rakyat Malaysia berusia lebih daripada 15 tahun aktif beriadah dan bersukan. 

Fakta ini telah mencetuskan debat secara nasional tentang perlunya untuk menggalakkan lebih ramai rakyat untuk mengamalkan gaya hidup lebih sihat.

Berdasarkan fakta terbaru ini, Projek Larian Komuniti yang diberi nama "Larian 40 Taman 100 Kilometer” akan dimulakan pada 14 Januari 2012 di Taman Tasik Kelana Jaya, Petaling Jaya, jam 7.30 pagi.

Diilhamkan oleh pengacara TV M.Zulkifli Abd. Jalil, projek ini diharapkan dapat menggalakkan rakyat Malaysia seluruh negara untuk memulakan larian dengan ahli keluarga dan teman-teman di taman-taman yang berhampiran. 

“Kami akan mengenalpasti 40 taman di seluruh Malaysia dan menganjurkan sesi larian berkumpulan dengan sesiapa sahaja yang berminat," menurut Zulkifli yang turut mengacarakan rancangan pagi di TV3, "Malaysia Hari Ini”. “Caranya memang sangat mudah. Anda boleh berlari atau berjalan mengikut kelajuan tersendiri, tetapi dengan satu objektif yang sama iaitu menamatkan 2.5km atau 3km setiap larian."

Zulkifli sendiri mula berlari dengan kerap bermula April 2011 dan beliau mengakui bahawa sebelum itu beliau kurang mengamalkan gaya hidup sihat. "Saya seorang yang aktif bersukan ketika di universiti, tetapi saya gagal untuk mengekalkan cara hidup sebegitu apabila saya mula bekerja dan berkeluarga," kata Zulkifli yang juga Pengurus Besar untuk New Media di Primeworks Studios, anak syarikat Media Prima.

“Namun begitu, pada awal tahun ini, saya dijemput untuk menyertai Feel Good Run yang dianjurkan oleh ntv7 dan acara itu telah menjadi titik tolak kepada perubahan ini. Saya mula berlatih untuk acara tersebut dan serta-merta jatuh hati dengan acara larian. Saya teruskan berlari secara kerap walaupun selepas acara larian tersebut, dan selain daripada ia membuat saya merasa lebih cergas, saya juga hilang beberapa kilo."

Zulkifli juga berharap projek ini dapat menggalakkan lebih ramai orang untuk menghargai taman-taman yang berdekatan dengan kawasan mereka dan mencintai alam sekitar secara amnya. “Kita mempunyai pelbagai taman-taman yang cukup menarik di seluruh negara, tetapi malangnya tidak semua penduduk setempat pernah menyaksikan kecantikan dan kemudahan yang ditawarkan. Pergi ke taman-taman boleh menjadi satu aktiviti yang menarik dan sihat untuk semua orang," tambahnya lagi. 

Projek ini dijangka akan mengambil masa lapan hingga sepuluh bulan, lebih kurang empat hingga enam taman sebulan. “Mengapa 40 taman? Saya baru mencecah usia 40, dan saya juga tahu pada tahap umur saya ini, ramai lelaki selalunya terlalu sibuk untuk memikirkan tentang aktiviti seperti ini, jadi saya merasakan acara sebegini sangat patut dan relevan," kata Zulkifli.

Di antara taman-taman yang telah dikenalpasti termasuk Taman Bukit Kiara TTDI, Taman Tasik Shah Alam, Seremban Lake Garden and Taman Tasik Titiwangsa. 

Pengalaman setiap larian juga akan dipaparkan di blog  larian40taman.blogspot.com.

Larian 40 Taman 100 Kilometer terbuka untuk semua yang berminat untuk menyertai. Anda hanya memerlukan sepasang kasut berlari/berjalan yang baik dan keinginan untuk bersuka ria. 

Butiran projek ini akan dipaparkan dari semasa ke semasa di blog tersebut. 

Untuk sebarang penyertaan atau maklumat, sila emel larian40taman@gmail.com atau tweet ke twitter.com/larian40taman.

2 comments:

  1. boleh sy tahu..larian40 taman akan diadakan di johor bahru..betul ker...di taman mane..macm nak join la...

    ReplyDelete
  2. Ya betul. Ahad ni di Taman Merdeka depan RTM. Jumpa di sana!

    ReplyDelete