Tuesday 17 January 2012

Larian 40 Taman #1: Taman Bandaran Kelana Jaya

Larian pertama dalam siri "Larian 40 Taman 100 Kilometer" telah dianjurkan dengan jayanya pada Sabtu lepas, 14 Januari 2012. Lebih daripada 40 peserta telah mengikuti larian yang diadakan di Taman Bandaran Kelana Jaya, satu pencapaian yang membanggakan bagi program larian komuniti yang baru hendak bertapak ini.

Peserta-peserta pada hari tersebut telah mula berkumpul seawal jam 7 pagi, dan acara telah dimulakan dengan proses pendaftaran dan pengedaran T-shirt eksklusif "Larian 40 Taman" yang diberikan secara percuma.



Selepas sessi memanaskan badan, pengasas "Larian 40 Taman", M.Zulkifli yang juga merupakan hos rancangan "Malaysia Hari Ini" di TV3, telah memberikan sedikit taklimat sebagai pengenalan. Zulkifli mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan mengigatkan semua bahawa mereka sebahagian dari yang melakarkan sejarah baru melalui program ini.



Kelihatan di acara itu, peserta-peserta dari semua peringkat umur, dari kanak-kanak, remaja hingga ke warga emas, dan mereka kelihatan begitu bersemangat untuk memulakan larian.


Seterusnya, larian telah dirasmikan oleh Encik Ahmad Izham Omar, ketua pegawai operasi Media Prima, yang juga turut lari bersama.


Peserta-peserta membuat dua pusingan di sekeliling Taman Bandaran itu yang merangkumi jarak lebih kurang 2.7km.








Menurut portal rasmi MBPJ, Taman Bandaran Kelana Jaya merupakan yang terbesar di Petaling Jaya yang mempunyai 7 tasik, dan merupakan salah satu tempat popular dengan trek joging di sekeliling tasik. Di sini terdapat juga pusat renang olimpik, tennis dan gelanggang badminton. Stadium moden MBPJ juga merupakan salah satu tempat yang digunakan semasa KL Sukan Komenwel 1998.



Acara tamat lebih kurang jam 8.30 pagi dan peserta-peserta semua telah melahirkan rasa puas hati dengan penganjuran dan juga manfaat yang didapati dari larian pada pagi itu.




Acara itu juga telah mendapat liputan rancangan "Malaysia Hari Ini" dan laporannya telah ditayangkan pada hari Isnin yang lepas.

No comments:

Post a Comment